Tuesday, April 22, 2008

Tiga Ekor Kambing

DI DALAM sebuah negeri terdapat 3 ekor kambing yang hidup meragut rumput di sebuah padang yang amat luas. Kehidupan mereka sungguh harmoni, aman dan damai serta tolong menolong dan bekerjasama melawan serangan musuh. Kerana mereka bersatu padu, tidak ada musuh yang berani menghampiri mereka.

Penghulu mereka, Puteh, sesuai dengan warnanya, adalah yang paling tua di antara kambing-kambing itu dan amat prihatin terhadap 2 ekor kambing di bawah tanggungjawabnya; Hitam dan juga Oren!

Pada suatu hari, kelihatan seekor serigala dari celahan bukit sambil memerhatikan segala tindak tanduk Puteh, Hitam dan terutama sekali si Oren yang 'sihat'. Selama 3 hari sang serigala berkeliaran di kawasan tersebut, meninjau dari setiap sudut dan penjuru seolah-olah membuat perkiraan taktik dan strategi.

Pada hari ke-4, sang serigala dengan bersusah payah menyembunyikan taringnya turun ke lembah padang ragut dan bertemu dengan kambing-kambing tersebut.

"Wahai kambing-kambing yang budiman, aku amat memuji akan tingkah laku kalian yang tinggal bersama-sama tolong menolong sesama kamu, hidup dengan aman dan bahagia," kata sang serigala dengan nada yang lembut.

"Jika beginilah amalan kamu, maka tidak hairanlah tiada gangguan yang menimpa kamu."

"Oh! Terima kasih atas pujian mu sang serigala. Nampak sungguh kamu mempunyai budi pekerti yang sangat tinggi dan budi bahasa yang sangat lembut," balas Puteh sambil yang lain mengangguk-angguk setuju dan gembira dengan kata manis si serigala.

Kemudian pada hari berikutnya, sedang si Oren meragut rumput agak jauh dari kumpulan tersebut, sang serigala berjumpa dengan si Puteh dan si Hitam bagi melaksanakan rancangan jahatnya. Dia berkata dengan bahasa yang manis bahawa amatlah pelik bagi seekor kambing berwarna oren.

Dia mencadangkan agar dibiarkan sahaja kambing oren itu dimakan olehnya agar lebih luas lagi padang ragut milik kambing berdua tersebut. Setelah berfikir sejenak, mereka berfikir bahawa benar dakwaan si serigala. Maka mereka membenarkan si serigala memakan Oren.

Keesokan harinya, Puteh dan Hitam mengajak Oren untuk menikmati rumput- rumputan liar di sebalik bukit. Setelah beberapa ketika, dengan sengaja Puteh dan Hitam mengundur diri untuk pulang meninggalkan si Oren bersendirian. Tiba-tiba sang serigala muncul dari balik pohonan.

"Apa yang kau mahu?," kata Oren.

"Engkau, wahai Oren, adalah makanan aku pada hari ini. Dan yang lebih hebat dari itu ialah..... kawan-kawan kau, si Puteh dan si Hitam, merelakannya. Hahaha!"

Oren amat terkejut mendengar kata-kata ini lalu tertumpahlah darahnya di atas muka bumi..... Setelah beberapa bulan lamanya strategi yang sama digunakan oleh sang serigala untuk membaham Hitam. Si Hitam membiarkan sahaja dirinya diterkam setelah tahu itu adalah kemahuan Puteh! Dan akhirnya, pada bulan berikutnya, tibalah giliran si Puteh.

"Wahai Puteh, apakah kau tahu apa yang akan terjadi pada hari ini?"

"Aku tahu, wahai serigala." Jawab si Puteh

"Apakah kau akan membiarkan sahaja aku membaham engkau seperti yang lainnya?!"

"Ya."

"Tapi kengapa?!" tanya sang serigala.

"KERANA SESUNGGUHNYA AKU TELAH PUN MATI SETELAH AKU MERELAKAN ENGKAU MEMAKAN SAHABAT KU SI OREN.........."

Moral:

Puteh, Hitam dan Oren mempamerkan Islam itu dianuti oleh berbagai rupa, budaya, bangsa dan warna kulit, pelbagai pemikiran, jamaah dan mazhab.

Sesungguhnya Muslim itu bersaudara. Jika seseorang Muslim itu sakit atau dalam kepayahan maka Muslim yang lain juga turut merasai keperitan.

Komuniti Islam haruslah bersatu padu di dalam ketumbukan supaya tidak mudah untuk diganggu dan dicerobohi musuh. Setiap individu Muslim adalah merupakan salah satu daripada penjuru- penjuru benteng Islam, maka hendaklah kita menjaga penjuru KITA dengan sebaik yang mungkin.

Sifat tamak (harta, pangkat dan kekayaan) serta hasad dengki hanya akan merugikan ummah, dan itulah yang sentiasa disogok oleh musuh. Musuh tidak akan berhenti untuk menghasut dan menyuntik jarum-jarum kacau- bilau di dalam masyarakat Islam.

Perancangan musuh amat sistematik dan terperinci dalam memerangi kita maka seharusnya kita juga mesti begitu.

Darah Muslim di dalam dunia hari ini sangat murah! Di seluruh dunia, umat Islam ditindas dan dibunuh akibat 'Order Dunia Baru'!

Maka tertumpahlah darah Muslim di atas muka bumi.............. setiap saat yang berlalu.

No comments: