Tuesday, April 22, 2008

Bersedekah Dalam Islam

BERSEDEKAH dalam Islam bukan sekadar memberi wang ringgit kepada mereka yang memerlukan. Konsep bersedekah dalam Islam adalah luas, membabitkan perkara yang membawa kebaikan.

Rasulullah saw bersabda bermaksud: "Setiap sendi manusia perlu bersedekah, setiap hari matahari terbit ada orang yang mengadili dua orang adalah sedekah.

"Membantu orang dengan menaikkan barangannya ke atas binatang tunggangannya adalah sedekah. Satu kalimah yang baik adalah sedekah. Setiap langkah untuk pergi mengerjakan solat adalah sedekah dan membuang sesuatu yang merbahaya di jalanan adalah sedekah." (Hadis riwayat Bukhori)

Dalam sebuah hadis lain mengenai konsep sedekah yang diriwayatkan oleh Abu Dzar, beliau menceritakan beberapa sahabat Nabi berkata kepada baginda: "Wahai Rasulullah, orang kaya mendapat banyak pahala. Mereka solat sebagaimana kami solat, mereka berpuasa sebagaimana kami berpuasa. Tetapi mereka bersedekah dengan harta mereka yang lebih.

"Rasulullah pun bersabda: Tidakkah Allah telah menjadikan sesuatu untuk kamu bersedekah? Sesungguhnya setiap satu tasbih adalah sedekah, setiap satu takbir adalah sedekah, setiap satu tahmid adalah sedekah, setiap satu tahlil adalah sedekah, setiap suruhan makruf adalah sedekah, setiap tegahan daripada kemungkaran adalah sedekah, jimak seorang daripada kamu adalah sedekah.

"Sahabat berkata, ya Rasulullah, adakah jika salah seorang daripada kami memenuhi syahwatnya, dia diberikan pahala? Rasulullah menjawab: "Hendaklah kamu ingat bahawa jika sekiranya dia melepaskannya pada yang haram, tidakkah dia akan berdosa? Maka demikianlah, jika dia melepaskan syahwatnya pada yang halal nescaya dia akan mendapat pahala."

Setiap kebaikan yang dilakukan sama ada dalam bentuk kerohanian dan fizikal sebenarnya adalah sedekah. Amalan sedekah juga lambang kebenaran iman kerana makna sedekah itu sendiri bermaksud 'benar'. Orang yang bersedekah adalah mereka yang benar dan mempercayai kebenaran ajaran Islam yang suci.

Setiap orang yang benar dan berbuat kebajikan nescaya diberkati Allah dengan kesejahteraan hidup dan mendapat rahmat. Orang yang bersedekah adalah dermawan, manakala yang bakhil adalah seteru Allah.

Dalam surah al-Lail, Allah telah menyatakan tentang sifat kedekut dan ego, di mana orang yang bersifat demikian kehidupannya akan dipenuhi dengan liku yang sukar dan bermasalah.

Ini sebagaimana sabda Rasulullah yang bermaksud: "Tuhan tidak akan merahmati sesiapa yang tidak berperikemanusiaan, iaitu tidak bersifat kasih sayang terhadap orang lain."

Keberkatan yang lahir daripada sedekah terlalu banyak. Namun, apa yang dinyatakan ini adalah yang akan jelas terpapar daripada wajah orang bersifat murah hati ini apabila melalui beberapa peringkat hidupnya iaitu:

# KEBERKATAN HIDUP

Seseorang yang bersedekah akan mendapat kesucian daripada sejumlah harta yang dia miliki. Ini termasuk Allah akan mengelakkan hartanya daripada kecurian atau hilang.

Perniagaannya sentiasa dalam keuntungan dan dia akan terhindar daripada penyakit bahaya. Usianya akan dipanjangkan oleh nikmat sedekah dan rezeki yang diperoleh.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Menggembirakan hati seseorang mukmin adalah terlebih baik daripada beribadat sunat selama enam puluh tahun."

# KEBERKATAN KETIKA PADA PENGHUJUNG KEHIDUPAN

Pada akhir hayat, seseorang yang gemar bersedekah akan diambil rohnya dengan segala kesenangan tanpa penyesalan dan kesedihan. Matinya bukanlah sebagai seorang yang tidak mensyukuri nikmat Allah bahkan akan dirahmati-Nya kerana kebaikannya itu.

Seseorang yang tidak suka bersedekah umpama seseorang yang mempunyai benih tanaman, tetapi tidak pula ia menanamnya. Orang yang tidak suka bersedekah tidak akan dapat memungut atau menuai hasil sedekahnya itu.

Rasulullah menegaskan dalam hadis baginda bermaksud: "Mati itu umpama gelas di mana setiap orang akan meneguk daripadanya."

# KETIKA DI ALAM BARZAKH

Orang yang bersedekah pastinya dalam kubur akan terhindar daripada fitnah dan sebarang kengerian yang begitu menakutkan. Alam kubur sebenarnya adalah untuk orang yang beribadat dan berbuat kebaikan dalam hidupnya.

# KETIKA DI ALAM AKHIRAT

Apabila dibangkitkan pada hari kiamat kelak, orang yang suka bersedekah ini akan dipayung dan diteduhkan oleh sedekahnya ketika hayat di dunia. Ini pasti dapat mengelakkan daripada ditimpa kepanasan di alam akhirat. Sedekah juga akan meringankan seseorang itu ketika dihisab Allah dan akan memberatkan timbangan kebajikannya.

# MENJADI BENTENG API NERAKA

Sedekah akan menjadi benteng daripada api neraka kepada seseorang yang bersedekah walaupun sedikit.

Hal ini dinyatakan oleh Rasulullah antaranya: "Sesiapa yang berkemampuan untuk melindungi dirinya daripada api neraka walaupun dengan hanya bersedekah sebelah buah tamar, hendaklah dia melakukannya."

Dalam sebuah hadis lain, baginda bersabda yang bemaksud: "Takutilah kamu akan api neraka, bersedekahlah sebelah buah tamar, dan jika kamu tidak mampu melakukannya, maka cukuplah dengan mengucapkan satu kalimah yang baik."

No comments: