Tuesday, April 15, 2008

Bersederhana Dalam Islam

DALAM Islam apa saja yang dilakukan biarlah bersederhana. Sesuatu perbuatan itu jika dilakukan dengan terlampau, biasanya akan membawa padah buruk.

Begitu juga dengan ketawa. Kata orang, ketawa membuatkan hati seseorang itu riang. Ada juga pendapat bahawa ketawa penawar duka.

Namun, banyak ketawa sebenarnya menjadikan hati semakin malap dan tidak berseri. Lampu hati tidak bersinar dan akhirnya terus tidak menyala. Hati juga tidak berfungsi lagi.

Nabi Muhammad melarang umatnya daripada gelak-ketawa yang melampau batas. Ini kerana banyak ketawa menghilangkan akal dan ilmu.

Barang siapa ketawa tergelak-gelak, akan hilang satu pintu daripada pintu ilmu.

Kenapa dilarang ketawa berdekah-dekah? Dalam keadaan suka yang keterlaluan, hati kita lalai dan lupa suasana akhirat dan alam barzah yang bakal ditempuhi kelak.

Dunia hanya tempat tumpangan sementara. Kita sedang menuju ke satu destinasi yang belum tentu menjanjikan kebahagiaan abadi.

Sepatutnya kita berfikir bagaimana kedudukan kita di sana nanti, sama ada berbahagia atau menderita. Berbahagia di dunia bersifat sementara, tetapi di akhirat berpanjangan tanpa had.

Penderitaan di dunia hanya seketika tetapi di akhirat azab yang berterusan dan berkekalan.

Merenung dan memikirkan keadaan ini cukup untuk kita menghisab serta menyedarkan diri kita mengenai bahaya yang akan ditempuh.

"Tertawa-tawa di masjid menggelapkan suasana kubur," demikian ditegaskan oleh Rasulullah.

Kita sedia maklum, kubur ialah rumah yang bakal kita duduki dalam tempoh yang panjang.

Kita keseorangan dan kesunyian tanpa teman dan keluarga. Kubur adalah satu pintu ke syurga atau neraka. Betapa dalam kegelapan di sana, kita digelapkan lagi dengan sikap kita yang suka terbahak-bahak di dunia.

Ketawa yang melampaui batas menjadikan kita kurang berilmu. Apabila kurang ilmu, akal turun menjadi kurang. Kepekaan terhadap akhirat juga menurun.

Nabi pernah bersabda: "Barangsiapa tertawa-tawa nescaya dilaknat akan dia oleh Allah (Al-Jabbar). Mereka yang banyak tertawa di dunia nescaya banyak menangis di akhirat."

Saidina Ali sentiasa mengeluh: "Jauhnya perjalanan, sedikitnya bekalan." Walaupun hebat zuhud dan ibadat beliau, baginda merasakan masih kurang lagi amalan. Betapa kita yang kerdil dan malas beribadat ini sanggup bergembira 24 jam.

Dalam hadis lain, Rasulullah bersabda, bermaksud; "Barang siapa banyak tertawa-tawa, nescaya meringankan api neraka." Maksudnya mudah dimasukkan ke dalam neraka.

Kita tidak pula dilarang menunjukkan perasaan suka terhadap sesuatu.

Cuma yang dilarang ialah berterusan gembira dengan ketawa yang berlebihan.

Sebaik-baik cara bergembira ialah seperti yang dicontohkan oleh Rasulullah. Baginda tidak terbahak-bahak tetapi hanya tersenyum menampakkan gigi tanpa bersuara kuat.

Beberapa sahabatnya pernah berkata "Ketawa segala Nabi ialah tersenyum, tetapi ketawa syaitan itu tergelak-gelak."

Diriwayatkan bahawa Rasulullah suka menziarahi orang sakit dan menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan walaupun ketika baginda sendiri dalam kesempitan. Baginda amat menghormati tetamu juga tuan rumah. Justeru baginda tidak pernah kelihatan berlunjur walaupun di rumahnya sendiri, malah tidak pernah ketawa dengan kuat.

Rasulullah adalah seorang insan yang sentiasa tersenyum dan suka menggembirakan orang lain. Sebarang kegusaran dan kehibaan hati akan disembunyikan sedapat mungkin agar tidak diketahui sahabat.

Abdullah bin Harits menyebut: "Aku tidak pernah melihat seseorang yang sentiasa tersenyum melebihi Rasulullah."

Dalam sebuah riwayat lain menceritakan, ketika Rasulullah sedang berjalan tiba-tiba datang seorang lelaki lalu merentap baju baginda dengan kasar sehingga meninggalkan kesan koyak.

Lelaki itu memohon kepada Rasulullah untuk diberikan kepadanya sedikit pemberian. Rasulullah sambil tersenyum terus memaafkan lelaki itu. Baginda sememangnya terkenal dengan sikap pemaaf walaupun kepada musuhnya.

Ketawa pernah disifatkan sebagai 'ubat jiwa'. Tetapi sesuatu ubat akan berubah menjadi racun apabila berlebihan.

Imam Hassan Al-Banna pernah berwasiat janganlah banyak ketawa, kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu, selalunya tenang dan tenteram.

Tiada Bahagia Di Hati

Antara puncanya adalah sifat mazmumah yg bersarang di dalam hati. Antara mazmummah utama yang menghilangkan bahagia di hati ialah :

1. Pemarah - paling mudah dikesan atau dilihat dan paling banyak di dalam diri manusia. Orang seperti ini jarang mendapat kawan dan hati tentunya tidak terang. (sape nak dekat kalau asyik nak marah ajer.. bawak2lah senyum.. tentu org tak takut nak dekat punyer..)

2. Pendendam - tersembunyi iaitu ibarat mengumpul lahar di dalam dada. Orang seperti ini sentiasa mencari-cari peluang untuk membalas dendam walaupun secara yang kecil-kecil sekalipun seperti sakitkan hati atau tempelak orang yang didendami itu. Sebab itu orang pendendam mudah kena sakit jantung. (ini kes dendam kesumat lahh nie..)

3. Hasad dengki - amalanya hangus akibat hasad dengkinya itu kerana ia memiliki sifat ketuhanan. (tak elok dengki mendengki nih..)

4. Bakhil - sentiasa merasakan orang lain menginginkan harta, kesenangan, pangkat dll. dari dirinya. Contohnya sentiasa berdalih mengatakan ia tiada duit. (rezeki yang diberi oleh Allah elok dikongsi bersama..-derma)

** Allah lebih sayang orang yang fasiq tetapi pemurah tetapi benci orang yang abid tetapi bakhil. Kerana walaupun fasiq, pemurahnya itu tetap memberi manfaat pada orang lain kerana kadangkala rezeki itu Allah beri melalui makhluk.

5. Tamak - orang yang tidak puas dengan yang sedikit nescaya tidak akan puas dengan yang banyak kerana dunia ini ibarat meminum air laut, walau berapa banyak yg diminum tetap tak abis jugak lagipun org tamak selalu rugi.. cam pantun zmn sekolah, dlm semak ada duri, ayam kuning buat sarang, org tamak selalu rugi, cam anjing ngan bayang-banayng

** Ingat ! yang dikatakan harta atau rezeki kita bila ia dipakai atau digunakan oleh kita. Selagi tidak diguna iaitu disimpan, itu belum boleh dikatakan rezeki kita. (mungkin ada hak orang lain di situ) Biarlah rezeki itu sedikit tetapi mendapat keberkatan iaitu dapat dimanfaatkan.

6. Tidak sabar - andainya perkara yang kecil pun tidak boleh bersabar apatah lagi hal-hal yang lebih besar. (oleh itu banyak2kanlah bersabar bila hadapi dugaan.. cthnyer time keja banyak.. tetap maintain vogue walau keja bertimbun atas meja.. heh.. heh..)

7. Ego - ibu segala mazmummah jadi ia membuatkan seseorang paling tidak tenang. Orang yang memiliki sifat ini pantang tercabar dari sudut zahir mahupun batin. (yg nie no komen).. pasal semua org ader egonya sendiri.. cuma tinggi/rendah tahap keegoan tersebut

8. Riak - terseksa sendiri kerana sentiasa tercari-cari peluang untuk dipuji. Sentiasa berlakon di depan orang. Jika ia dipuji, ia akan menambah amalnya tetapi jika dikeji, ia akan mengurangkan amalnya. Allah marah kalau kita riak.. takabbur dgn aper yg kita ada(harta, ilmu amal dll)

9. Cinta dunia - tidak dapat menderita, dapat pun menderita kerana bila sudah dapat susah pula menjaganya. Berhartalah tidak mengapa tetapi kawal hati jangan diletakkan pada harta itu. dan biler mati cuma bawa amalan dan doa anak yg soleh/solehah

** Cinta dunia merupakan "neraka dunia" kerana dunia itu "panas" akibat ia merupakan barang buruan dan rebutan. Jadi letakkanlah akhirat itu di hati dan dunia itu di tangan supaya dunia itu senang dibahagi-bahagi dan akhirat dibawa mati.

Samada bermujahadah atau biarkan saja mazmummah itu, kedua-duanya tetap menderita tetapi andainya bermujahadah kita akan dibantu Allah dan akan bahagia jua akhirnya. So.. sama-samalah kite sentiasa ingat mengingati antara satu sama lain sekian

Nota:

****Makin tinggi mazmummah seseorang, makin ia tidak BAHAGIA.****

Membentuk Peribadi Muslim

Buat renungan semua, peribadi seorang muslim............

1) Membentuk peribadi Muslim

Firman Allah :

"Janganlah kamu berjalan di muka bumi ini dengan keadaan angkuh" (Al-Isra' : 37)

2) Memberi ucapan yang baik ketika bertemu

Al-Quran menyuruh kita memberi salam seperti dalam ayat :

"Apablia kamu diberi ucapan salam, maka hendaklah menjawabnya dengan sebaik-baiknya atau kembalikan yang sama seumpama" (An-Nisa : 66)

3) Berpakaian cara sopan

Firman Allah :

"Wahai Nabi, katakanlah olehmu kepada isteri-isterimu dan anak-anak perempuan mu dan perempuan-perempuan mukmin agar mereka melabuhkan jibab mereka kerana yang demikian itu akan dikenal sebagai wanita yang baik, maka tidak akan diganggu dan Allah itu Maha Pengampun dan Maha Pengasih." (Al-Ahzab : 59)

4) Memeriahkan masjid

Allah berfirman :

"Hanyasanya yang mengimarahkan masjid Allah Taala ialah orang yang beriman dengan Allah dan hari akhirat dan yang mendirikan sembahyang dan yang membayar zakat dan dia tidak takut melainkan kepada Allah. Mudah-mudahan mereka itu daripada orang yang mendapat petunjuk." (At-Taubah : 18)

5) Mengembara

Allah menyuruh umat Islam mengembara, melalui firman-Nya :

"Berjalanlah kamu di atas muka bumi. Kemudian lihatlah bagaimana akibatnya sikap orang yang berdusta." (Al-An'am : 11)

6) Menuntut ilmu

Umat Islam digalakkan menuntut ilmu, seperti mana firman Allah :

"Allah mengangkat darjat orang yang beriman daripada kamu dan mereka yang akan diberi ilmu pengetahuan dengan beberapa darjat." (Al-Mujahadah : 11)

7) Hidup bermasyarakat

Firman Allah :

"Tolong menolonglah kamu di dalam berbuat kebajikan dan ketakwaan dan janganlah kamu tolong-menolong di dalam kedosaan dan permusuhan." (Al-Maidah : 2)

Bagaimana Cemerlang Dengan Doa

DALAM surah al-Mukmin (atau Ghafir) ayat 60 Allah (SWT) berfirman, "Berdoalah kepadaku akan Aku perkenankan permintaanmu. "

Di samping berusaha umat Islam disuruh berdoa kerana kecemerlangan dan doa tidak dapat dipisahkan. Malah doa ialah ibu ibadah. Demikian yang disabdakan Nabi SAW mengikut riwayat Imam Tirmizi. Doa yang rahmat diturunkan. Ia dapat dikiaskan dengan perisai yang menjadi sebab senjata tidak menembusi badan.

Perkara ini dinukilkan dalam kitab al-Azkar. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi, Nabi SAW bersabda, "Mintalah kepada Allah (SWT) kurniaannya. Sesungguhnya Allah (SWT) menyukai permohonan (dari hambanya)."

Adab-Adab Berdoa

Doa yang diterima oleh Allah (SWT) ialah doa yang datang dari hati yang khusyuk. Ketika berdoa beberapa adab perlu dijaga agar doa itu diberkati dan dimakbulkan Allah (SWT).

Antara adab-adab itu ialah:

1. Memilih waktu yang mulia.

Antara waktu-waktu istimewa yang baik untuk berdoa, berpandukan hadis-hadis Nabi SAW, ialah di bulan Ramadan, pada hari Jumaat, pada hari Arafah, waktu sahur, ketika sedang berjihad, waktu hujan turun, selepas melaksanakan solat-solat fardu, antara azan dan iqamat, ketika sedang berpuasa dan ketika sedang sujud dalam solat.

2. Merendahkan diri kepada Allah (SWT) dan khusyuk.

Dalam surah Al-A'raf ayat 55 Allah (SWT) berfirman, "Berdoalah kepada Tuhanmu dengan rendah hati dan takut." Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi, Nabi SAW bersabda, "Berdoalah kepada Allah (SWT) dengan keyakinan bahawa Allah (SWT) akan mengabulkan permintaanmu. Ingatlah, Allah (SWT) tidak memperkenankan doa yang datang daripada hati yang lalai."

3. Bertaubat daripada dosa dan mengembalikan semula hak mereka yang telah dizalimi.

Dosa yang dilakukan akan menjadi benteng yang menghalang penerimaan doa oleh Allah (SWT). Hal ini disebutkan dalam Al-Azkar oleh Imam An-Nawawi. Allah (SWT) berfirman dalam surah At-Tahrim ayat 8, "Wahai mereka yang beriman bertaubatlah kepada Allah (SWT) dengan taubat nasuha (iaitu taubat yang sebenarnya). "

4. Meyakini bahawa doa itu akan diterima.

Maksudnya, hendaklah kita berfikiran positif ketika berdoa. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi, Nabi SAW bersabda, "Berdoalah kepada Allah (SWT) dengan kamu meyakini bahawa ia akan diterima."

5. Tidak tergesa-gesa.

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan, Nabi SAW bersabda, "Doa seseorang kamu akan diperkenankan selagi mana dia tidak bersikap tergesa-gesa dengan berkata, `Aku telah pun berdoa tetapi nampaknya tidak diperkenankan' ." Mereka yang tergesa-gesa bersikap seolah-olahnya mengetahui apa yang terbaik untuk diri mereka. Sepatutnya mereka berserah diri kepada Allah (SWT) kerana Allah (SWT) saja yang mengetahui apa yang terbaik untuk diri mereka. Berhubung dengan ini Imam Tirmizi meriwayatkan sabda Nabi SAW yang bermaksud, "Tidak berdoa seseorang hamba di bumi ini melainkan ianya akan diperkenankan Allah (SWT), atau dipalingkan Allah (SWT) satu keburukan daripadanya setimpal dengan apa yang dipohonnya, selama mana dia tidak meminta perkara yang berdosa atau meminta untuk memutuskan tali persaudaraan. "

6. Hendaklah dimulakan sesuatu doa dengan memuji Allah (SWT) dan berselawat ke atas Rasulullah SAW. Demikian juga adabnya ketika mengakhiri doa itu. Hal ini disebutkan di dalam Al-Azkar oleh Imam An-Nawawi dan Ihya Ulumuddin oleh Al-Ghazali berdasarkan beberapa hadis Nabi SAW.

7. Disunatkan mengulang-ulangi sesuatu doa untuk menampakkan kesungguhan.

Hal ini diriwayatkan oleh Imam Abu Daud melalui sahabat Abdullah ibn Masud yang berkata, "Sesungguhnya Rasulullah amat gemar mengulang-ulangi doa dan istighfar tiga-tiga kali."

Punca Doa Tertolak

Dalam sebuah hadis riwayat Imam Muslim, Nabi SAW bersabda, "Sesungguhnya Allah (SWT) itu suci bersih dan Allah (SWT) tidak menerima kecuali yang suci bersih jua". Dan sesungguhnya Allah (SWT) mengarah orang-orang mukmin dengan sesuatu yang perlu juga dilakukan oleh rasul-rasul. Allah (SWT) berfirman, `Wahai rasul-rasul makanlah yang halal dan lakukanlah amalan yang salih.'

Allah (SWT) juga berfirman, `Wahai mereka yang beriman, makanlah rezeki yang baik-baik yang dikurniakan kepadamu.' Terdapat seorang lelaki yang bermusafir jauh sehingga menjadi kusut rambutnya dan berdebu mukanya. Lelaki ini menadahkan tangannya untuk bermohon kepada Allah (SWT) dengan berkata `Ya Rab, ya Rab' sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan mulutnya disuapkan dengan sesuatu yang haram. Bagaimana akan diperkenankan doanya? Hadis ini menunjukkan sumber rezeki yang haram menjadi sebab musabab sesuatu doa ditolak oleh Allah (SWT).

Ibrahim ibn Adham pernah pada suatu ketika berada di kota Basrah. Beliau ditanya tentang punca sesuatu doa tidak dimakbulkan oleh Allah (SWT). Beliau berkata,

"Pertama, kamu mengenal Allah (SWT) tetapi kamu tidak menunaikan haknya. Kedua, kamu mengatakan bahawa kamu mencintai rasulullah tetapi kamu tidak mengikut sunahnya. Ketiga, kamu membaca Al-Quran tetapi kamu tidak beramal dengannya. Keempat, kamu menerima nikmat Allah (SWT) tetapi kamu tidak menunaikan syukurnya. Kelima, kamu berkata bahawa syaitan itu musuh kamu tetapi kamu tidak menentangnya. Keenam, kamu berkata bahawa syurga itu benar tetapi kamu tidak beramal untuknya. Ketujuh, kamu berkata bahawa neraka itu benar tetapi kamu tidak melarikan diri daripadanya. Kelapan, kamu berkata bahawa mati itu benar tetapi kamu tidak bersedia untuk menghadapinya. Kesembilan, kamu bangun dari tidur dan kamu menceritakan tentang keaiban orang lain dan kamu melupakan keaiban dirimu sendiri. Kesepuluh, kamu mengebumikan mayat tetapi kamu tidak mengambil pengajaran darinya."

(Dari buku `Tip-Tip Cemerlang Dari Al-Quran' oleh Dr. Danial bin Zainal Abidin)

Nukilan Dr. Danial Zainal Abidin (M. B. Ch. B. Universiti Alexandria)

http://danialzainalabidin.com/

Orang Miskin Yang Beriman dan Orang Kaya Yang Kafir

Di masa lampau ada dua orang mukmin dan kafir, keduanya pergi untuk memancing ikan. Si kafir jika akan mengangkat jalanya menyebut nama berhalanya, maka ia mendapat ikan yang banyak sedangkan si mukmin jika akan mengangkat jalanya menyebut nama Allah SWT namun tidak mendapat apa-apa.

Apabila hari telah hampir maghrib barulah si mukmin mendapat ikan dan ketika diangkat tiba-tiba ikan itu bergerak-gerak dan jatuh kembali ke dalam air, maka si mukmin tidak mendapat apa-apa lagi sedangkan si kafir jalanya penuh dengan ikan.

Maka menyesallah malaikat yang menjaga si mukmin itu dan ketika ia naik ke langit, Allah SWT memperlihatkan kepada malaikat itu tempat yang disediakan oleh Allah SWT untuk si mukmin dalam syurga, sehingga malaikat itu pun berkata, “Demi Allah tidak bererti (tidak apa-apa) penderitaannya di dunia jika kelak ia akan mendapat ini.”Juga diperlihatkan tempat si kafir dalam neraka, maka malaikat itu berkata, “Demi Allah tidak berguna apa yang ia dapatkan di dunia, jika kelak akan kembali ke sini.”

Pada hari kiamat Allah SWT akan menolak alasan empat orang dengan empat iaitu:

- menolak alasan orang-orang kaya dengan nabi Muhammad s. a. w., jika si kaya berkata, “Kekayaan itulah yang menyebabkan aku sibuk sehingga tidak sempat beribadat.” Maka dijawab Allah SWT, “Engkau tidak lebih kaya dari Sulaiman a. s. tetapi kekayaannya tidak melupakannya dari ibadat.”

- Jika hamba sahaya berkata, “Kerana saya sebagai hamba sahaya maka tidak dapat bebas untuk beribadat kepadaMu.” Maka Allah SWT menjawab, “Yusuf AS menjadi hamba sahaya tetapi kehambaannya tidak menghalangi untuk melakukan ibadat.”

- Jika si miskin berkata, “Kemiskinanku itulah yang menghalangi untuk beribadat kepadaMu.” Maka Allah SWT menjawab, “Engkau tidak lebih miskin dari Isa AS tetapi Isa AS tidak terhalang untuk melakukan ibadat.”

- Jika terhadap orang yang sakit dengan Nabi Ayyub AS. Jika si sakit berkata, “Penyakitku itulah yang menghalangi aku untuk beribadat.” Maka Allah SWT menjawab, “Penyakitmu tidak lebih berat dari penyakit Ayyub AS tetapi ia tidak terhalang untuk beribadat kepadaKu.”

Sehingga tidak ada alasan bagi orang yang akan beralasan di sisi Allah SWT pada hari kiamat. Orang-orang sholihin senang dengan penyakit dan kesukaran itu kerana dapat menjadi penebus dosa.

Abu Dardaa’ RA berkata, “Orang tidak suka kemiskinan dan saya suka, orang tidak suka mati dan saya suka, orang tidak suka penyakit dan saya suka. Saya suka penyakit kerana menjadi penebus dosa-dosaku, saya suka miskin sebab menjadikanku tawadhu’ kepada Allah SWT dan saya suka mati kerana rindu kepada Allah SWT.”

Lima Syarat Melakukan Maksiat

Suatu hari ada seorang lelaki yang menemui Ibrahim bin Adham. Dia berkata, "Wahai Aba Ishak! Selama ini aku gemar bermaksiat. Tolong berikan aku nasihat."

Setelah mendengar perkataan tersebut Ibrahim berkata, "Jika kamu mahu menerima lima syarat dan mampu melaksanakannya, maka boleh kamu melakukan maksiat."

Lelaki itu dengan tidak sabar-sabar bertanya. "Apakah syarat-syarat itu, wahai Aba Ishak?"

Ibrahim bin Adham berkata, "Syarat pertama, jika kamu bermaksiat kepada Allah, jangan memakan rezekiNya." Mendengar itu dia mengernyitkan kening seraya berkata, "Dari mana aku mahu makan? Bukankah semua yang ada di bumi ini rezeki Allah?"

"Ya!" tegas Ibrahim bin Adham. "Kalau kamu sudah memahaminya, masih mampukah memakan rezekinya, sedangkan kamu selalu berkeinginan melanggar larangan-Nya? "

"Yang kedua," kata Ibrahim, "kalau mahu bermaksiat, jangan tinggal di bumi-Nya!"

Syarat ini membuat lelaki itu terkejut setengah mati. Ibrahim kembali berkata kepadanya, "Wahai Abdullah, fikirkanlah, apakah kamu layak memakan rezeki-Nya dan tinggal di bumi-Nya, sedangkan kamu melanggar segala larangan-Nya? "

"Ya! Anda benar." kata lelaki itu. Dia kemudian menanyakan syarat yang ketiga.

Ibrahim menjawab, "Kalau kamu masih mahu bermaksiat, carilah tempat tersembunyi yang tidak dapat terlihat oleh-Nya!"

Lelaki itu kembali terperanjat dan berkata, "Wahai Ibrahim, ini nasihat macam mana? Mana mungkin Allah tidak melihat kita?"

"Ya, kalau memang yakin demikian, apakah kamu masih berkeinginan melakukan maksiat?" kata Ibrahim. Lelaki itu mengangguk dan meminta syarat yang keempat.

Ibrahim melanjutkan, "Kalau malaikat maut datang hendak mencabut rohmu, katakanlah kepadanya, 'Ketepikan kematianku dulu. Aku masih mahu bertaubat dan melakukan amal soleh'."

Kemudian lelaki itu menggelengkan kepala dan segera tersedar, "Wahai Ibrahim, mana mungkin malaikat maut akan memenuhi permintaanku? "

"Wahai Abdullah, kalau kamu sudah meyakini bahawa kamu tidak boleh menunda dan mengundurkan datangnya kematianmu, lalu bagaimana engkau boleh lari dari kemurkaan Allah?"

"Baiklah, apa syarat yang kelima?" Ibrahim pun menjawab, "Wahai Abdullah kalau malaikat Zabaniyah datang hendak mengiringmu ke api neraka di hari kiamat nanti, jangan engkau ikut bersamanya."

Perkataan tersebut membuat lelaki itu insaf. Dia berkata, "Wahai Aba Ishak, sudah pasti malaikat itu tidak membiarkan aku menolak kehendaknya. "

Dia tidak tahan lagi mendengar perkataan Ibrahim. Air matanya bercucuran. "Mulai saat ini akut bertaubat kepada Allah." katanya sambil terisak-isak.

Menghiasi Diri Dengan Sifat Sabar

Assalamualaikum. ..

Menghiasi diri dengan sifat sabar merupakan akhlaq orang-orang mulia. Mereka menghadapi kesulitan hidup dengan berlapang dada, tidak mudah menyerah, serta penuh kepercayaan diri. Kerana itu, jika kita bersabar, apa lagi yang boleh kita lakukan???

Apakah anda mempunyai penyelesaian yang lain daripada bersabar? Dan apakah anda mengetahui senjata lain selain daripada kesabaran untuk menghadapi persoalan hidup?

Suatu ketika seorang tokoh menghadapi pelbagai musibah yang datang silih berganti dalam hidupnya dan juga berbagai kesulitan yang berlumba untuk menghancurkannya. Setiap kali selesai daripada satu kesulitan, kesulitan yang lain pula datang mengunjunginya. Meskipun demikian, ternyata ia mampu menepis segala kesulitannya itu dengan penuh kesabaran dan menjadikan kepercayaannya terhadap Allah sebagai perisai diri daripada kehancuran.

Demikianlah yang dilakukan oleh orang-orang yang mulia dan terhormat itu dalam berjuang melawan setiap dugaan dan mencampakkan semua kesulitan hidupnya terkapar di atas tanah.

Ketika beberapa orang sahabat menziarahi Abu Bakar Radhiyallahu 'ahnu yang sedang terbaring sakit, para sahabat berkata kepadanya: "Apakah perlu kami panggilkan seorang tabib untuk mengubatimu? "

Jawab Abu Bakar Radhiyallahu 'ahnu: "Seorang tabib telah memeriksaku! "

Para sahabat pun bertanya: "Apakah yang telah dikatakan olehnya?"

Jawab Abu Bakar Radhiyallahu 'ahnu: "Innii fa'aalun lima uriid" (Sesungguhnya aku boleh melakukan apa sahaja yang aku mahu)

Bersabar!

Akan tetapi, ketahuilah bahawa anda tidak mampu bersikap sabar, kecuali atas pertolongan dan taufiq dari Allah. Bersabarlah sebagaimana kesabaran orang yang yakin akan datangnya pertolongan Allah, orang yang tahu akan sebaik-baik tempat kembali, orang yang mengharapkan pahala, dan orang yang mengharapkan terhapusnya dosa. Bersabarlah, meskipun anda menghadapi pelbagai persoalan hidup dan menghalangi jalan yang akan anda tempuhi. Sesungguhnya pertolongan akan datang setelah kesabaran, kelapangam akan datang setelah kesusahan dan kemudahan akan datang setelah kesulitan.

Saya telah membaca beberapa biografi tokoh terkenal di dunia ini, dan saya terpegun dengan besarnya kesabaran dan agungnya ketabahan mereka dalam menghadapi berbagai macam dugaan yang datang terus-menerus, bagaikan air dingin yang menitis di atas kepala mereka. Akan tetapi, daya tahanan mereka tetap kukuh bagaikan kukuhnya gunung. Kebenaran menancap kuat ke dalam diri mereka dan mereka sedar bahawa waktu di dunia ini sangatlah singkat. Dan wajah mereka kembali bersinar memancarkan cahaya seiring dengan datangnya mentari kemenangan, keceriaan dan masa pertolongan. Bahkan ada di antara mereka yang tidak hanya cukup bersabar sahaja, namum justeru menghadang semua bencana itu dan berteriak lantang di hadapan musibah-musibah itu sambil menyatakan tentangannya.

Petikan dari Buku Jangan bersedih -Don't Be sad (setelah kesulitan pasti ada kemudahan)

Karangan: Dr 'Aidh bin Abullah Al-Qarni,

Penterjemah: Noraine Abu.

Bersedih Hati Kerana Pahala

Assalamualaikum. ..

'Bersedih hati kerana pahala'

Pada suatu hari khalifah keempat, Ali bin Abi Thalib bertemu dengan Salman al-Faris dan seperti biasa dia bertanya tentang keadaan sahabatnya itu "Hai Salman apa khabar hari ini?" tanya khalifah Ali.

"Wahai Amirul Mu'minin, pada pagi ini aku berada di antara empat kesedihan. Pertama, aku sedih memikirkan keluargaku yang meminta roti kepadaku. Kedua aku sedih memikirkan perintah-perintah Allah kepadaku. Ketiga, aku sedih memikirkan pujukan syaitan terhadap jiwaku. Keempat, aku sedih memikirkan soalan malaikat terhadap rohku" jawap Salman.

Mendengar masalah yang dihadapi Salman itu Saidina Ali teringat kepada masalahnya sendiri yang pernah dialaminya beberapa tahun yang telah lalu. Mula-mula dia menasihatkan kepada Salman.

"Wahai Salman, bergembiralah engkau, kerana keempat-empat perkara yang membuatmu bersedih itu malah menambah darjatmu"

Kemudian Amirul Mu'minin bercerita tentang pengalaman serupa yang pernah beliau alami. Pada masa itu beliau menyampaikan masalahnya yang serupa kepada Rasulullah. Pada suatu hari beliau ditanya Rasulullah "Wahai Ali bagaimana keadaanmu hari ini?"

Ali menjawab "Wahai Rasulullah, pada hari ini aku berada pada empat kesedihan. Pertama, di rumah tidak ada apa-apa kecuali air, aku bersedih memikirkan keadaan anak-anakku. Kedua, aku sedih memikirkan ketaatanku kepada Allah. Ketiga aku bersedih memikirkan akibatku dan keempat, aku bersedih memikirkan malaikat pencabut rohku"

Ali diam sekejap memikirkan sesuatu.

"Pada masa itu," lanjut Ali, Rasulullah menasihatkan:

"Wahai Ali bergembiralah. Sesungguhnya sedih memikirkan keluarga adalah tabir penutup daripada api neraka. Sedih memikirkan taat kepada Allah itu bererti keselamatan daripada seksa. Dan sedih memikirkan akibat itu adalah perjuangan, dan berjuang adalah lebih utama daripada beribadah selama 60 tahun. Sedang sedih memikirkan malaikat pencabut nyawa itu adalah pelebur semua dosa"

Selain daripada itu, Ali juga menyampaikan nasihat Rasulullah yang lain kepada Salman.

"Ketahuilah olehmu bahawa rezeki para hamba itu ada di tangan Allah SWT, maka itu kesedihanmu itu langsung tiada gunanya, sebab ianya tidak membahayakan dan tidak pula menguntungkan. Oleh itu kerana kau mendapat pahala atas kesedihan yang menimpamu itu, jadilah engkau orang yang bersyukur, taat dan bertawakkal kepada Allah maka engkau akan menjadi sahabatNya"

Pada masa itu Ali bertanya kepada Rasulullah "Atas sebab apa aku bersyukur pada Allah"

"Atas agama Islam" jawab Rasulullah.

"Ketaatan macam manakah yang engkau maksudkan wahai Rasulullah?" tanya Ali lagi.

"Bacalah Laa haula wa laa quwwata illa billahi 'aliyyil adhim, engkau akan mengerti" jawab Rasulullah.

"Lalu benda apakah yang mesti aku tinggalkan?" tanya Ali pula.

"Tinggalkanlah marah. Sesungguhnya meninggalkan marah itu boleh memadamkan murka Allah, memberi timbangan yang berat dan membawamu ke syurga" jawab Rasulullah.

Mendengar kisah Ali berkenaan dengan fatwa Rasulullah dalam perkata itu Salman al-Farisi merasa puas hati

"Semoga Allah menambah kemuliaanmu wahai Ali. Sesungguhnya aku ini sedih terutama disebabkan oleh masalah keluargaku" kata Salman.

Ali pun menambahkan lagi "Aku mendengar Rasulullah bersabda, barangsiapa yang tidak memelihara keluarganya, maka dia tidak mendapat bahagian syurga"

Tetapi Salman tidak boleh memahami ucapan Ali yang terakhir ini dan bertanya "Bukankah Rasulullah pernah bersabda bahawa pemilik keluarga tidaklah bahagia selama-lamanya? "

Mendengar pertanyaan Salman itu Saidina Ali meluruskan maksud hadith Rasulullah yang didengar Salman itu.

"Bukan itu yang dimaksudkan Rasulullah. Jika pekerjaanmu itu halal maka engkau pun bahagia. Hai Salman ketahuilah bahawa syurga itu teramat rindu kepada orang-orang yang susah dan sedih hati kerana memperhatikan yang halal (khuatir terjerumus pada benda-benda yang haram)"

Begitulah Saidina Ali mengakhiri nasihatnya kepada Salman al-Farisi.

Petikan dari Buku Menyingkap Peristiwa Dan Keistimewaan Sirah Kehidupan Nabi SAW, Sahabat & Ahli Hikmah

Disusun oleh: Ustaz Abdul Salam Basok Al-Haj.

Tajdid Iman

Tajdid Iman : Dr Juanda Jaya

KETIKA berada di bawah tekanan yang menyempitkan dada, lazimnya fikiran akan bercelaru, jiwa tergoncang dan tiada yang menyelimuti perasaan melainkan kesedihan dan putus asa. Tekanan kehidupan silih berganti merempuh jiwa.

Kadang-kadang ia menyebabkan kita menjadi hilang kawalan, sekali gus hilang keimanan. Begitulah ujian yang menyebabkan matinya hati, kerasnya jiwa dan tawarnya perasaan. Satu langkah untuk menghidupkan kembali hati yang tercedera adalah dengan menyahut seruan Allah (SWT) dan Rasul-Nya.

Satu resipi daripada al-Quran yang agung, firman Allah (SWT) bermaksud:

"Wahai orang yang beriman, penuhilah seruan Allah (SWT) dan seruan Rasul apabila Rasul menyeru kalian kepada sesuatu yang memberi kehidupan kepada kalian, dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah (SWT) membatasi antara manusia dan hatinya." (Surah Al-Anfal, ayat 24)

Hati memerlukan makanan yang paling berkhasiat supaya tetap bertenaga melawan nafsu syahwat yang mengganggunya. Menyahut seruan Allah (SWT) dan Rasul bermakna berada dalam ikatan Allah (SWT) dan Rasul-Nya di mana saja berada.

Dalam keadaan sibuk atau senang, dengan langkah kaki yang berat atau ringan, hati yang benci atau suka, namun tetap menyahut seruan Allah (SWT) dengan taat dan setia. Kadang-kadang kita mesti memaksa diri untuk melawan hasrat nafsu. Sebelum kejahatan itu berubah menjadi amalan harian dan kebiasaan buruk susah ditinggalkan.

Menyahut seruan Allah (SWT) mampu menghidupkan hati. Sesungguhnya manusia sentiasa mengalami kematian dan hidup semula. Iaitu ketika hati mereka mati kemudian disimbah cahaya iman sehingga ia hidup kembali.

Keadaan ini berulang-ulang dialami setiap insan. Bagaimana mungkin ia tidak sedar ketika hatinya mengalami sakaratul maut? Untuk itu, Al-Quran mengajarkan kita sentiasa bermohon kepada Allah (SWT) supaya hati tidak tersesat dan mati berulang kali.

Allah (SWT) berfirman bermaksud:

"Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan selepas Engkau beri petunjuk kepada kami." (Surah Ali Imran, ayat 8)

Jika orang beriman melakukan maksiat kepada Allah (SWT) ataupun kejahatan kepada sesama manusia, dia berasa seolah-olah berlaku suatu kesempitan yang menekan dalam hatinya dan kesakitan adalah seperti mana sakitnya merasai sakaratul maut.

Kulitnya berpeluh dan pucat, takut balasan seksa Allah (SWT). Adakah ia akan dibalas langsung di dunia ataupun disimpan hingga di akhirat untuk menjadi bakaran api neraka. Dosa itu menghantuinya ke mana saja dia pergi.

Begitu juga sebaliknya jika seseorang dalam keadaan beribadat dan taat kepada Allah (SWT) serta berbuat baik kepada sesamanya, hatinya terasa lapang, wajahnya ceria, tutur katanya menyenangkan hati sesiapa yang mendengar, akalnya bertambah tajam, bijak dan luas pandangan.

Seperti sabda Baginda bermaksud:

"Jika cahaya masuk ke dalam hati, maka ia akan menjadi terang dan luas. Mereka bertanya: Apakah tanda-tandanya, wahai Rasulullah? Baginda bersabda: Mendekatkan diri kepada negeri yang abadi (akhirat), menjauhkan diri daripada negeri yang pasti hancur (dunia) serta mempersiapkan diri untuk mati sebelum ia datang." (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Hidupnya hati berkait rapat dengan ingatan kita kepada akhirat. Ramai orang yang ingat akhirat, tetapi berapa ramai yang ingat dan bersiap-siap berangkat menuju ke sana? Ada pula orang yang terlalu ghairah hendak pergi ke sana hingga apa saja yang ada di dunia ini adalah umpama syaitan dan musuh bagi dirinya.

Isteri diabaikan dan anak yang menjadi amanah dibiarkan macam syaitan. Kerjaya dan harta dilupakan kerana terlalu tekun memegang idealisme yang kononnya daripada agama, padahal dia tersesat dan mabuk oleh zikir yang membenci dunia.

Padahal agama adalah rahmat bagi seluruh dunia. Jika penganut agama ini tidak difungsikan sebagai pentadbir dunia, maka dia akan dibinasakan oleh penguasa bersifat duniawi. Maknanya mereka membiarkan orang kafir meneraju setiap bidang kehidupan, sementara orang Islam menjadi tawanan abdinya. Semua ini bukan ajaran Baginda. Mereka yang berfahaman sebegini sebenarnya tidak mengerti mengenai Islam.

Mencari bekal akhirat tidak bermakna membenci dunia. Kita hanya membenci kekufuran dan apa saja yang menuju ke arah itu. Jika dunia dijalani dengan penuh tanggungjawab keimanan, maka tiada masalah bagi orang Islam untuk menjadi manusia terkaya dan terhebat mentadbir dunia.

Duduk bersama orang kafir, tetapi sama sekali tidak terpengaruh ajakan kufur mereka. Begitulah sifat orang yang hatinya hidup. Terang dan luas seperti sabda Baginda SAW. Tiada tekanan yang menjejaskan imannya. Jika ia wujud sekalipun, ia hanyalah kerikil tajam yang mustahil mematikan hatinya.

Oleh itu, dia amat memerhatikan kesejahteraan hati. Jika ada tempat paling tinggi dan mahal harganya, suci lagi diagungkan, itulah hati nurani sendiri. Dia amat mencintai hatinya. Setiap hari hatinya sentiasa disentuh dengan kelembutan ilmu dan pengabdian diri kepada Allah (SWT).

Dia tidak akan membiarkan hatinya kekeringan hidayah dan petunjuk daripada Allah (SWT), jauh sekali membiarkannya mati oleh kefasikan dan maksiat. Hati orang mukmin terlalu istimewa, kerana di situlah jatuhnya pandangan Allah (SWT). Baik dan buruk seseorang bergantung kepada hati kerana ia adalah cerminan amal perbuatannya.

Proses menghidupkan hati memerlukan pengorbanan sepanjang hayat. Satu langkah lagi untuk menghidupkan hati adalah dengan menyalakan cahaya Al-Quran dalam diri kita.

Kedekatan seorang mukmin kepada al-Quran bergantung dengan kesungguhannya melalui pelbagai ujian kenaikan tingkatan keimanan. Tangga pertama harus dilalui dengan belajar membaca. Disebabkan cintakan al-Quran dia rela meninggalkan kesenangan dan hiburan yang melalaikan.

Tangga pertama ini tidak dapat didaki dalam masa sehari, ada yang sudah 10 tahun membiasakan diri membaca satu juzuk selepas subuh, tetapi selepas zaman berubah dia pun lalai dan sedikit demi sedikit meninggalkan al-Quran hingga akhirnya tidak sempat menyentuhnya walaupun sesaat.

Tangga kedua yang harus didaki untuk sampai ke puncak al-Quran adalah tangga kajian, seterusnya tangga amalan dan akhir sekali tangga memperjuangkan mesej al-Quran.

Namun, kita tidak nafikan ramai yang terjatuh dan kembali mendaki. Ada pula yang tidak perasan sesungguhnya dia sudah lama berada pada tangga paling bawah saja. Dia tidak sedar cahaya al-Quran yang menghidupkan hati itu hanya dapat diperoleh dengan mencapai keseluruhan tangga-tangga hingga ke puncaknya.

Memberi Dan Menerima Sedekah

Firman Allah s. w. t dalam surah al Baqarah ayat 271 mafhumnya

"Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu; dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan.

Dan Syaitan sentiasa membuatkan manusia was was untuk membelanjakan harta (derma) dengan mengancam manusia seperti firman Allah s. wt dalam surah al-Baqarah juga ayat 268 mafhumnya :

Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma), dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut); sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripadaNya serta kelebihan kurniaNya. Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmatNya, lagi sentiasa Meliputi PengetahuanNya. "

Jadi jika kita merasa takut takut untuk bersedekah maknanya iatu adalah bisikan syaitan. Fikir2kan.

MEMBERI & MENERIMA PENGIKAT UKHUWAH

Di dalam sahih At-Tirmizi, daripada Abi Hurairah RA. daripada Nabi SAW, baginda bersabda: (maksudnya)

"Hendaklah kamu saling memberi hadiah kerana hadiah itu menghilangkan kedengkian dan was-was hati".

Pengajaran Hadis:

1- Nabi SAW inginkan setiap umatnya hidup aman sejahtera, bersaudara dan berkasih sayang.

2- Hidup berkasih sayang itu perintah Allah dan juga kemuncak harapan setiap manusia, maka Nabi SAW menjelaskan jalan- jalan untuk mencapai impian tersebut serta memberikan panduan bagaimana untuk menyuburkan rasa kasih dan sayang di dalam jiwa setiap manusia.

3- Untuk menyuburkan rasa kasih dan sayang sesama manusia, mereka perlu mengusahakan beberapa perkara. Hal hal tersebut menjadi asbab untuk manusia berkasih sayang. Tanpa melahirkan asbab untuk hidup berkasih sayang, manusia akan hidup di dalam keadaan merana dan tertekan.

4- Saling memberi hadiah adalah di antara punca untuk melahirkan kasih sayang sesama manusia.

5- Hadiah yang diberi tidak semestinya sesuatu yang mahal harganya, tetapi hendaklah diberi dengan hati yang penuh ikhlas. Suatu amalan yang ikhlas kerana Allah dan menuruti sunnah Rasulullah SAW akan membuahkan hasil yang maksimum.

6-Rasa suka dan gembira tatkala menerima hadiah dari seseorang adalah fitrah semulajadi yang dibekalkan Allah di dalam diri setiap manusia. Apabila timbul perasaan gembira, lantas si penerima spontan akan merasa dirinya dihargai, dikasihi dan dimuliakan. Hati berasa kagum, terhutang budi dan mulut mengungkapkan terima kasih pada si pemberi. Waktu itu rasa dendam, salah sangka, angkuh, kemarahan dan sebagainya sedikit demi sedikit akan tersingkir dan lenyap dari hati.

7- Hadis ini menekankan bahawa amalan memberi hadiah ini hendaklah dilakukan setiap muslim secara timbal balik. Amalan saling membalas dan bertukar hadiah itu amat dituntut dalam islam. Sebab itulah disebutkan kalimah 'saling memberi' di antara satu sama lain. Setiap muslimin hendaklah bahu- membahu memperjuangkan 'kasih sayang' dan 'perpaduan' sebagaimana yang diperintahkan Allah dan Rasul.

Artikel oleh Amal Islamy, dipetik dari majalah ANIS keluaran bulan September 2007

Wallahualam