Tuesday, April 15, 2008

Memberi Dan Menerima Sedekah

Firman Allah s. w. t dalam surah al Baqarah ayat 271 mafhumnya

"Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu; dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan.

Dan Syaitan sentiasa membuatkan manusia was was untuk membelanjakan harta (derma) dengan mengancam manusia seperti firman Allah s. wt dalam surah al-Baqarah juga ayat 268 mafhumnya :

Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma), dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut); sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripadaNya serta kelebihan kurniaNya. Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmatNya, lagi sentiasa Meliputi PengetahuanNya. "

Jadi jika kita merasa takut takut untuk bersedekah maknanya iatu adalah bisikan syaitan. Fikir2kan.

MEMBERI & MENERIMA PENGIKAT UKHUWAH

Di dalam sahih At-Tirmizi, daripada Abi Hurairah RA. daripada Nabi SAW, baginda bersabda: (maksudnya)

"Hendaklah kamu saling memberi hadiah kerana hadiah itu menghilangkan kedengkian dan was-was hati".

Pengajaran Hadis:

1- Nabi SAW inginkan setiap umatnya hidup aman sejahtera, bersaudara dan berkasih sayang.

2- Hidup berkasih sayang itu perintah Allah dan juga kemuncak harapan setiap manusia, maka Nabi SAW menjelaskan jalan- jalan untuk mencapai impian tersebut serta memberikan panduan bagaimana untuk menyuburkan rasa kasih dan sayang di dalam jiwa setiap manusia.

3- Untuk menyuburkan rasa kasih dan sayang sesama manusia, mereka perlu mengusahakan beberapa perkara. Hal hal tersebut menjadi asbab untuk manusia berkasih sayang. Tanpa melahirkan asbab untuk hidup berkasih sayang, manusia akan hidup di dalam keadaan merana dan tertekan.

4- Saling memberi hadiah adalah di antara punca untuk melahirkan kasih sayang sesama manusia.

5- Hadiah yang diberi tidak semestinya sesuatu yang mahal harganya, tetapi hendaklah diberi dengan hati yang penuh ikhlas. Suatu amalan yang ikhlas kerana Allah dan menuruti sunnah Rasulullah SAW akan membuahkan hasil yang maksimum.

6-Rasa suka dan gembira tatkala menerima hadiah dari seseorang adalah fitrah semulajadi yang dibekalkan Allah di dalam diri setiap manusia. Apabila timbul perasaan gembira, lantas si penerima spontan akan merasa dirinya dihargai, dikasihi dan dimuliakan. Hati berasa kagum, terhutang budi dan mulut mengungkapkan terima kasih pada si pemberi. Waktu itu rasa dendam, salah sangka, angkuh, kemarahan dan sebagainya sedikit demi sedikit akan tersingkir dan lenyap dari hati.

7- Hadis ini menekankan bahawa amalan memberi hadiah ini hendaklah dilakukan setiap muslim secara timbal balik. Amalan saling membalas dan bertukar hadiah itu amat dituntut dalam islam. Sebab itulah disebutkan kalimah 'saling memberi' di antara satu sama lain. Setiap muslimin hendaklah bahu- membahu memperjuangkan 'kasih sayang' dan 'perpaduan' sebagaimana yang diperintahkan Allah dan Rasul.

Artikel oleh Amal Islamy, dipetik dari majalah ANIS keluaran bulan September 2007

Wallahualam

No comments: