Tuesday, April 15, 2008

Bersedih Hati Kerana Pahala

Assalamualaikum. ..

'Bersedih hati kerana pahala'

Pada suatu hari khalifah keempat, Ali bin Abi Thalib bertemu dengan Salman al-Faris dan seperti biasa dia bertanya tentang keadaan sahabatnya itu "Hai Salman apa khabar hari ini?" tanya khalifah Ali.

"Wahai Amirul Mu'minin, pada pagi ini aku berada di antara empat kesedihan. Pertama, aku sedih memikirkan keluargaku yang meminta roti kepadaku. Kedua aku sedih memikirkan perintah-perintah Allah kepadaku. Ketiga, aku sedih memikirkan pujukan syaitan terhadap jiwaku. Keempat, aku sedih memikirkan soalan malaikat terhadap rohku" jawap Salman.

Mendengar masalah yang dihadapi Salman itu Saidina Ali teringat kepada masalahnya sendiri yang pernah dialaminya beberapa tahun yang telah lalu. Mula-mula dia menasihatkan kepada Salman.

"Wahai Salman, bergembiralah engkau, kerana keempat-empat perkara yang membuatmu bersedih itu malah menambah darjatmu"

Kemudian Amirul Mu'minin bercerita tentang pengalaman serupa yang pernah beliau alami. Pada masa itu beliau menyampaikan masalahnya yang serupa kepada Rasulullah. Pada suatu hari beliau ditanya Rasulullah "Wahai Ali bagaimana keadaanmu hari ini?"

Ali menjawab "Wahai Rasulullah, pada hari ini aku berada pada empat kesedihan. Pertama, di rumah tidak ada apa-apa kecuali air, aku bersedih memikirkan keadaan anak-anakku. Kedua, aku sedih memikirkan ketaatanku kepada Allah. Ketiga aku bersedih memikirkan akibatku dan keempat, aku bersedih memikirkan malaikat pencabut rohku"

Ali diam sekejap memikirkan sesuatu.

"Pada masa itu," lanjut Ali, Rasulullah menasihatkan:

"Wahai Ali bergembiralah. Sesungguhnya sedih memikirkan keluarga adalah tabir penutup daripada api neraka. Sedih memikirkan taat kepada Allah itu bererti keselamatan daripada seksa. Dan sedih memikirkan akibat itu adalah perjuangan, dan berjuang adalah lebih utama daripada beribadah selama 60 tahun. Sedang sedih memikirkan malaikat pencabut nyawa itu adalah pelebur semua dosa"

Selain daripada itu, Ali juga menyampaikan nasihat Rasulullah yang lain kepada Salman.

"Ketahuilah olehmu bahawa rezeki para hamba itu ada di tangan Allah SWT, maka itu kesedihanmu itu langsung tiada gunanya, sebab ianya tidak membahayakan dan tidak pula menguntungkan. Oleh itu kerana kau mendapat pahala atas kesedihan yang menimpamu itu, jadilah engkau orang yang bersyukur, taat dan bertawakkal kepada Allah maka engkau akan menjadi sahabatNya"

Pada masa itu Ali bertanya kepada Rasulullah "Atas sebab apa aku bersyukur pada Allah"

"Atas agama Islam" jawab Rasulullah.

"Ketaatan macam manakah yang engkau maksudkan wahai Rasulullah?" tanya Ali lagi.

"Bacalah Laa haula wa laa quwwata illa billahi 'aliyyil adhim, engkau akan mengerti" jawab Rasulullah.

"Lalu benda apakah yang mesti aku tinggalkan?" tanya Ali pula.

"Tinggalkanlah marah. Sesungguhnya meninggalkan marah itu boleh memadamkan murka Allah, memberi timbangan yang berat dan membawamu ke syurga" jawab Rasulullah.

Mendengar kisah Ali berkenaan dengan fatwa Rasulullah dalam perkata itu Salman al-Farisi merasa puas hati

"Semoga Allah menambah kemuliaanmu wahai Ali. Sesungguhnya aku ini sedih terutama disebabkan oleh masalah keluargaku" kata Salman.

Ali pun menambahkan lagi "Aku mendengar Rasulullah bersabda, barangsiapa yang tidak memelihara keluarganya, maka dia tidak mendapat bahagian syurga"

Tetapi Salman tidak boleh memahami ucapan Ali yang terakhir ini dan bertanya "Bukankah Rasulullah pernah bersabda bahawa pemilik keluarga tidaklah bahagia selama-lamanya? "

Mendengar pertanyaan Salman itu Saidina Ali meluruskan maksud hadith Rasulullah yang didengar Salman itu.

"Bukan itu yang dimaksudkan Rasulullah. Jika pekerjaanmu itu halal maka engkau pun bahagia. Hai Salman ketahuilah bahawa syurga itu teramat rindu kepada orang-orang yang susah dan sedih hati kerana memperhatikan yang halal (khuatir terjerumus pada benda-benda yang haram)"

Begitulah Saidina Ali mengakhiri nasihatnya kepada Salman al-Farisi.

Petikan dari Buku Menyingkap Peristiwa Dan Keistimewaan Sirah Kehidupan Nabi SAW, Sahabat & Ahli Hikmah

Disusun oleh: Ustaz Abdul Salam Basok Al-Haj.

No comments: